Wednesday, May 12, 2010

PreJUDIS yang mengundang KUDIS

Ah, pening saya memikirkan masalah hati orang Melayu ni. Heh, walaupun saya Melayu juga. Sama je la, jangan kata orang je..

Situasi 1

Seorang rakan saya kebelakangan ini moyok je mukanya (Kamu panggil apa ya kalau muka masam?). Ntah apa la masalah yang dipendam. Pulak tu tak bertegur dan meluah masalah kepada sesiapa.

“X marah Y sebab tak hantar lagi kertas kerja tu pada Encik Rosli. Padahal saya sendiri dan bincang tentang kertas kerja tu dengan Y dan Encik Rosli..”, seorang kawan saya, Z merungut. Z juga menjadi mangsa ‘bencian’ X kerana dituduh tidak membuat kerja bersama Y.

‘X’ yang dimaksudkan dalam cerita tersebut ialah kawan saya yang moyok tu la. (moyok/monyok? ntah..)

Hmm..

Situasi 2

Seorang rakan (saya namakan A) mengadu, rakan biliknya (B) sekali lagi tidak bertegur dengannya. Tanpa sebab. Aish..

Beberapa hari kemudian, baru dia mendapat tahu, rakan sekelasnya, C sekali lagi bermasalah dengannya. Ntah sebab apa yang membuatkan si C memusuhinya.

Kebetulan, si B berkawan rapat dengan si C. Lalu, si B turun ‘membengangi’ si A kerana si C ‘membengangi’nya.

Si A berasa keliru, kenapa beliau sering dimusuhi, sedangkan beliau tidak pernah diberitahu sekiranya beliau berperangai buruk.

Dan apa alasan kukuh si B untuk turut menjauhkan diri dari si A?

Hoish..

Masalah orang Melayu

Melayu je ke? Ntah, saya rasa saya jumpa masalah ni dalam masyarakat Melayu je. Mungkin sebab saya bergaul dengan oranga Melayu je..

Apa masalahnya?

Prejudis.

Bersangka buruk.

Akhirnya? KUDIS.

Cuba anda fikirkan, adakah kedua-dua masalah yang saya sebutkan tadi akan wujud sekiranya dimanfaatkan KOMUNIKASI?

Bertanya.

Berdialog.

Meluah.

Saya fikir, tak mungkin berlaku masalah.

Fikirkan, sekiranya si X bertanya si Z secara bersemuka, adakah masalah tersebut akan berlaku? Sekiranya si Z betul-betul tidak buat kerja, tidak bolehkan si X menasihatinya?

Masalah orang Malayu, suka membuat persepsi awal. Tanggapan. Prejudis. Akhirnya Kudis.

Fikirkan juga, apa masalah si B kepada teman biliknya, A? Adakah semata-mata jika si C memusuhi A, si B juga perlu turut memusuhinya? Apakah salahnya jika si B bertanya dahulu kepada A tentang dakwaan si C? Kenapa mudah sekali merosakkan hubungan semata-mata sebab yang kita sendiri tidak pasti

Jawapannya, kerana kita Melayu.

Ya, kita lebih suka membuat tanggapan sendiri, membina persepsi buruk, menimbulkan prejudis. Semuanya berlaku kerana kita bukan manusia yang suka bertanya dan mengambil tahu. Malas berkomunikasi.

Oh, jika anda membaca entry ini, fikir-fikirkanlah.. Adakah anda termasuk dalam kategori Melayu yang saya maksudkan?

Monday, May 10, 2010

'Dakwah' Burger

Dakwah Burger.

Pelik bukan istilah tersebut?

Tapi itulah antara ibrah yang berjaya saya tanamkan setelah hampir sebulan saya menjual burger.

Mungkin sesetengah dari anda memandang kerjaya berniaga, atau penjual burger sendiri sebagai membuat duit semata. Tidak lebih dari itu.

Jika ya, saya ada sebab untuk menafikan dakwaan anda.

BURGER SEBAGAI ‘ALAT KOMUNIKASI’

Dahulu, saya hampir kekeringan idea bagaimana mahu mengenali semua penghuni di asrama yang saya duduki. Walaupun tidaklah terlalu besar, dan penghuninya tidaklah terlalu ramai, namun hati sentiasa berasalan “tiada sebab untuk aku masuk ke bilik mereka”.

Saya terus mencari peluang, setidaknya pada ‘marhalah’ yang awal ini saya mampu senyum dan bertegur sapa dengan semua. Mungkin, lebih dari itu saya mampu mendapatkan sedikit gambaran aktiviti mereka pada masa lapang.

“Aku mesti pergi bilik ke bilik!”, tekad saya di dalam hati.

Kebetulan, saya juga sedang menghadapi sedikit krisis kewangan yang membimbangkan. Wang untuk mengisi perut sendiri pun tidak menentu. Apatah lagi untuk pergi ke tempat-tempat lain bagi tujuan program, usrah dan sebagainya. Pening saya memikirkan.

Ilham hadir bilamana saya melihat seorang rakan menjual nasik lemak dari bilik ke bilik.

“I got it!”, saya terus terfikirkan sejenis makanan kegemaran yang masih belum pernah dijual di sini.

BURGER.

NABI SEORANG PENIAGA

Kadang kala saya terfikir, mungkin sebab itulah Nabi Muhammad saw ditakdir Allah mengikuti bapa saudaranya berniaga sebelum baginda diangkat menjadi Rasul.

Perniagaan merupakan satu kerjaya yang menarik. Bukan kerana duitnya, tetapi lebih dari itu si peniaga akan mempelajari berurusan dengan pelbagai jenis manusia semasa berniaga. Didikan supaya mengenal perilaku dan sikap manusia yang pelbagai.

Ada yang masih tidur walaupun maghrib hampir menjelang tiba.

Tak kurang juga yang 24 jam menghadap laptop dan facebooknya.

Ada yang bermain gitar, sambil mendendangkan lagu-lagu ‘pemenat kepala’.

Oh, banyak sungguh ragam manusia ya. Dan itulah yang membuat saya semakin menyedari tanggungjawab saya. Mungkin inilah yang bakal dipersoalkan kepada saya kelak.

Itupun saya cuma ‘roung burger’ lebih kurang setengah jam sebelum masuk waktu solat Maghrib. Kadang kala, jika tidak sempat sebelum solat maghrib, saya terpaksa menangguhkan jualan sehingga saya selesai solat maghrib berjemaah. Saya kembali ‘roung burger’ selepas solat.

“Ada sesiapa yang nak burger?!”, soalan aras standart yang saya tanya.

Menyedihkan.

Masih ramai yang ber’facebook’ dengan baju yang sama, belum mandi..

Yang memetik gitar juga masih mencari ilham lagu baru.

Yang tidur seperti tidak bercita-cita lagi untuk bangun.

Ianya bukan soal membangga diri. Konon sayalah yang terbaik. Tapi soal mata saya yang melihat. Soal diri yang mengaku muslim. Muslim itu daie. Di situlah kelompangan yang perlu untuk kita sama-sama perbaiki.

MAD’U (SASARAN)

”Ada sesiapa nak burger?”, seperti biasa, soalan yang sama.

“Ada burger apa abang?”, tanya seorang junior saya. Setidaknya saya berjaya mengetuk hati beliau untuk tahu lebih tentang burger saya.

“Daging ada, ayam pun ada. Semua dua ringgit. Nak?”.

“Boleh la. Bagi saya daging satu, ayam satu ya”, pelawaan saya disambut mesra.

Jika pelajar bukan Islam, lain pula caranya.

“Nak burger ayam?”, saya mengambil kita soal sensitiviti mereka terhadap daging lembu. Anda tahu kan mereka tidak makan daging lembu?

“Boleh, boleh. Nak satu!”, saya menarik nafas syukur.

Semuanya ada pendekatan yang tersendiri. Bagi yang telah saya kenali rapat, lain pula caranya.

“Setakat pandang je, tak nak beli buat apa..”, saya berseloroh dengan seorang sahabat rapat.

“Ai, mencabar nampak. Aku beli la satu.. Hehe..”, tergelak beliau. Yang penting ‘dakwah’ saya berkesan.

Itulah yang menariknya sewaktu berniaga. Saya semakin mengenal manusia, serta pendekatan yang sesuai untuk masuk kepada mereka.

BAHAN DAKWAH

Jika saya burger menjadi barang promosi saya,begitulah juga Islam. ‘Barang promosi’ kita semua. Saya tidaklah berniat memperkecilkan harga Islam, membanding setara dengan sebungkus burger. Tapi analoginya begitulah.

Hari ini, kita gagal mempromosi Islam dengan baik.

Bagaimana baik?

Pendapat saya, penggabungan antara syariatullah dan sunnatullah dalam dakwah perlu diperkemaskini. Ianya bukan sedakar apa yang disampaikan, tetapi bagaimana ia disampaikan. Kedua-duanya memainkan peranan penting dalam mempromosi Islam kepada masyarakat.

Jika semata-mata bahan dakwah yang baik, tapi lemah di sudut penyampaian, saya kira ianya belum cukup untuk menarik mereka mendekati Islam.

Begitulah juga sebaliknya. Jika sekadar penyampaian yang baik, tetapi tidak mendahulukan mauduk (tajuk) yang perlu didahulukan, mungkin ibarat angin yang lalu.

Contohnya, satu organisasi dakwah di satu pusat pengajian menganjurkan satu ceramah bagi memantapkan akidah para penuntut. Lalu dijemput seorang pensyarah memberikan ceramah. Tajuknya ‘Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah’.

Anda tahu siapa sasaran utama program tersebut?

Para penuntut yang baru sahaja mengenal Islam, merangkak berkenalan dengan Istilah-istilah dalam disiplin ilmu akidah, dan bertatih-tatih dalam beramal.

Hasilnya, saya perhatikan, fokus mereka pada ceramah tersebut hanyalah sekitar 10 hingga 15 minit.

Selepas itu, mereka mula mencuit telinga kawan, berdiskusi tentang kerja kurses (mungkin), menyandar di tiang surau sambil memejam mata, dan bermacam-macam. Cuma lebih kurang 30% sahaja yang dilihat dapat menumpukan perhatian kepada majlis tersebut. Itupun kaki-kaki surau dan majlis ilmu.

Saya tidak menafikan kepentingan memahami akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Tetapi mengheret mereka kepada perbahasan tentang isu-isu berat dalam akidah, seperti Wahabiyah, Salafiyah, dan sebagainya, merupakan sesuatu yang mengaburkan mereka. Isu itu terlalu kompeks bagi mereka yang cuma mengenal Allah secara Ijmal.

Dalam peringkat mereka, mungkin tajuk-tajuk tentang kecintaan dan kerinduan kepada Allah boleh diberi keutamaan. Beri galakan kepada mereka untuk bangga berTuhankan Allah. Kerana dengan rasa bangga dan cinta itulah mereka lebih mudah menerima ‘tugasan’ syarak yang lain untuk mereka.

BERSABARLAH

Ramai dari kita hari ini mudah merasa marah kepada mad’u kerana tidak mahu mendengar seruan kita.

Tapi, berapa ramai pula dari kita benar-benar bersikap empati?

Apa maksud saya?

Sebelum anda menjadi seperti sekarang, mungkin istiqamah qiamullail, solat dhuha, puasa sunat setiap minggu, istiqamah solat sunat rawatib dan sebagainya, berapa lama anda mampu mengubah diri anda yang dahulu?

Adakah anda ke klinik, lalu meminta ubat ‘taubat’ dan anda terus berubah serta merta?

Jarang dari kita berubah sedemikian cepat, bukan?

Begitulah dengan mad’u kita. Bersabarlah.. Beri masa untuk mereka berubah. Usahalah dengan cara sabar..

Cara sabar? Macam mana tu?

Ya, cara sabar. Cara seorang daie.

“Kau tau tak benda ni haram? Kalau haram, tinggalkan je la.. Kenapa banyak tanya sangat?”. Ini cara tak sabar.

“Tak pe.. Kau amik masa k.. Fikir semula, untuk apa kita hidup.. Untuk apa kita hidup, berdasarkan apa kesudahan kehidupan kita. Kita tahu kita akan mati. Macam mana kita hidup, macam tu la kita akan hadapi kematian kan.. Tak pe.. Tuhan akan terus sayang kau, selagi kau sayang dia.. Yang penting kau terus sayang dia..”. Mungkin, ni la ayat orang sabar. BERI MASA kepada si mad’u. Kebenaran tetap akan ‘menerjah’ hati dia supaya kembali kepada fitrah.

Semoga saya terus mengenali manusia, serta berusaha memenangi hati manusia ke arah mengenali PenciptaNya Yang Maha Esa. Allah..

Bermulalah sebuah monolog...

Assalamualaikum..

Berguru Dengan Kehidupan.

Anda pernah dengar ungkapan tersebut? Jika anda penah membaca Nota Hati Seorang Lelaki, catatan Pahrol Mohd Juoi, pasti anda telah memahami apa yang sedang saya maksudnya.

Apa yang anda harapkan dari sebuah blog?

Apa pula anda hajatkan dari seorang blogger seperti saya?

Jika anda mengharapkan ilmu, lebih-lebih lagi ilmu syariatullah, mungkin bukan di sini tempatnya. Ya, saya bukanlah seorang Faqih yang mampu mengajar anda tentang rukun-rukun solat, puasa dan wuduk. Malah bukan itu tujuan saya di sini.

Saya cuma seorang hamba yang bermonolog. Berfikir tentang kehidupan yang saya tempuhi, berzikir kepada Tuhan yang mencipta kehidupan tersebut.

Anda rasa Allah menciptakan manusia dan kehidupan dengan tujuan yang sia-sia?

Anda silap.

Di sana anda hikmah dan ibrah buat si mukmin yang berfikir dan berzikir.

Jika anda merasakan saya seorang yang celik, maka anda berhak untuk berguru dengan kehidupan yang saya lalui. Dan jika anda merasakan saya seorang yang buta, anda juga berhak untuk mempergurui diri saya yang tempang dalam melalui kehidupan. Hakikatnya, kehidupan ini adalah pelajaran dan ujian.

Selamat berkenalan dan selamat membaca.